Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Aplikasi pintar, MySejahtera telah berjaya mencapai 23,953,970 pengguna dan tanggungan yang berdaftar serta 1,058,853 premis perniagaan berdaftar sejak dilancarkan pada 20 April lalu.

Setakat ini, MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif daftar masuk ke premis-premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta daftar masuk sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, aplikasi itu juga telah membantu merungkai 523,000 persoalan daripada pengguna.

Jelas beliau, ia telah berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang di dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore.

“Aplikasi MySejahtera telah banyak membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengesan kes-kes positif Covid-19 melalui dua kaedah iaitu penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna di mana kes posiitif dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap virus itu mengikut kriteria dalam garis panduan KKM.

“Sehingga hari ini, 1,561 kes atau 3.1 – 6.5 peratus telah berjaya dikesan dan disahkan positif Covid-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri.

“Pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera di mana individiu yang berpotensi sebagai kontak rapat kepada kes positif akan dikesan melalui aplikasi ini,” katanya dalam satu kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Noor Hisham menambah, sehingga hari ini, sebanyak 7,606 kes Covid-19 atau 15.1 – 37.8 peratus telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera.

Kata beliau, jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti positif melalui penggunaan aplikasi pintar itu adalah 9,167 kes.

“Secara puratanya, kes yang dikesan adalah 18.2- 44.3 peratus di mana peratusan berubah dari semasa ke semasa kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera.

“Untuk tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan.

“Data tersebut akan dianalisa bersama- sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak,” ujarnya.

Data-data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In di mana rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis,” katanya.

Noor Hisham memberi contoh, untuk Kluster Utama, seramai 17,260 pengguna telah dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat membeli belah terlibat dalam suatu tempoh masa tertentu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 1,343 individu telah dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD, di mana 457 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama.

“Ujian persampelan seterusnya mengesahkan seramai 221 kes positif daripada 457 individu yang merupakan kontak rapat. Daripada 236 kes positif bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari yang sama, 221 kes adalah berjaya dikesan menggunakan aplikasi pintar MySejahtera atau 93 peratus.

“Untuk makluman, aplikasi MySejahtera menerapkan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.

“Data yang dikumpul melalui Mysejahtera adalah bagi tujuan pengesanan kontak sahaja dengan punca kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Perubatan 1971.

“Maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan juga dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Data Check-In yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari,” katanya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast