Sebanyak 1.5 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka dan Lembah Klang bakal dilengkapi dengan meter pintar menjelang hujung tahun ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Penggunaan aplikasi dan portal myTNB meningkat secara mendadak berikutan lebih ramai pelanggan yang memilih untuk berurusan secara digital berbanding perkhidmatan secara bersemuka.

Setakat 15 November lalu, pembayaran bil melalui MyTNB mencatatkan lonjakan kepada 7.7 juta transaksi berbanding 3.6 juta transaksi pada tahun lepas.

Daripada 7.7 juta transaksi itu, lebih enam juta urusniaga dibuat melalui aplikasi manakala bakinya adalah melalui portal.

Menurut Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan, disebabkan peningkatan mendadak urusniaga secara digital, syarikat utiliti negara itu telah menaiktaraf ciri-ciri yang terdapat pada myTNB supaya setaraf dengan perkhidmatan secara bersemuka.

Katanya, sambutan yang diterima setakat ini adalah amat menggalakkan.

“Setiap orang kini lebih berhati-hati terhadap kesihatan dan keselamatan mereka, dan mereka juga mencari peluang untuk mengurangkan perjumpaan secara bersemuka. Ini memberi dorongan buat kami untuk menjadikan urusan lebih mudah dan selamat buat pelanggan kami menerusi kemudahan yang ada pada platform myTNB.

“la memudahkan serta mesra-pengguna kerana segalanya berada pada hujung jari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain pembayaran bil, transaksi lain melalui myTNB turut mengalami lonjakan.

Ini dapat disaksikan menerusi urusan perubahan tarif daripada 858 pada 2019 kepada 17,260 pada tahun ini manakala pertukaran nama penyewa meningkat kepada 22,262 (2019: 8,219); skim tenaga boleh diperbaharui kepada 342 (2019: 23) dan myGreen+ kepada 552 (2019: 304).

Selain itu, pengguna meter pintar pula boleh memantau penggunaan tenaga harian secara dalam talian menerusi myTNB.

Menurut Megat Jalaluddin, sehingga kini lebih 555,000 pengguna meter pintar di Lembah Kelang dan Melaka telah menikmati ciri-ciri errsebut semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Aplikasi myTNB boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal myTNB boleh dilayari di pautan www.mytnb.com.my.- MalaysiaGazette