Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakar pengurusan kewangan, Datuk Chua Tia Guan menasihatkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya hanya mengeluarkan caruman daripada akaun satu sekiranya keadaan betul-betul mencemaskan.

Beliau berkata, pengeluaran caruman KWSP itu harus dilihat sebagai satu pilihan dan bukannya mesti menggunakan caruman itu.

“Langkah yang diambil kerajaan akan membantu mereka yang betul-betul memerlukan bantuan.

“Ia adalah untuk membantu mereka yang betul-betul kebuntuan termasuk menghadapi masalah dari segi makan minum,” katanya kepada China Press.

Beliau bagaimanapun berpendapat, memandangkan KWSP merupakan simpanan untuk masa depan, pencarum harus mempertimbangkan pilihan lain sebelum mengeluarkan caruman daripada akaun satu.

“Pilihan yang perlu didahulukan adalah memohon moratorium bayaran pinjaman, mengeluarkan caruman daripada akaun dua KWSP serta menggunakan Sistem Insurans Pekerjaan,” katanya.

Jelasnya, sekiranya semua pilihan alternatif telah digunakan dan wang masih tidak mencukupi, barulah pencarum harus mengeluarkan simpanan daripada akaun satu.

“Menggunakan simpanan KWSP pasti akan menjejaskan kehidupan masa depan, apatah lagi 42 peratus ahli KWSP hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000 dalam akaun satu,” katanya.

Tia Guan juga memberi peringatan bahawa pencarum yang mengeluarkan caruman untuk tujuan pelaburan akan berdepan risiko kerugian.

Beliau juga bimbang dengan tahap pengurusan kewangan kebanyakan rakyat yang mungkin membazirkan wang yang dikeluarkan daripada KWSP.

“Berdasarkan pemerhatian, jika duit itu dilaburkan ke dalam pasaran saham, hanya segelintir orang yang akan untung.

“Bagi kebanyakan orang, mereka mengalami kerugian dalam saham tanpa menyedari apa yang telah berlaku,” katanya.

Tia Guan justeru berpendapat pengeluaran caruman untuk tujuan pelaburan boleh menjadi satu malapetaka buat mereka tidak mengerti dunia pelaburan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sangat setuju. Kecuali yg amat terdesak seperti player dlm industri penerbangan atau perlancongan, warga lain harus jdkan kwsp sbg last option. Jual lah kereta mewah sediada dan tukar dengan kereta yg lebih murah, batalkan Astro, talian internet atau apa apa sahaja benda bukan keperluan terlebih dahulu. Ramai juga yg guna wang kwsp sbg modal nak berniaga sbb hilang kerja. Nasihat pakar diatas, kaji dulu potensi perniagaan sblm mula labur.

  2. Bodoh lah kau ni..dkt malaysia ni paling ramai org ada simpanan KWSP je..kalau pun ada simpanan lain dah habis pun sbb rata2 simpanan tu boleh cover utk dua tiga bulan je…..kau fikir dgn gaji minima rakyat malaysia yg cuma rm1200 sebulan boleh ke buat tabungan berpuluh ribu sebulan ke?..jadi kau jangan nk fikir utk tahap kau saja…kesusahan golongan berpendapatan rendah hanya golongan itu saja yg tahu jangan cuma asyik cakap kamu memahami kesusahan…memahami tak sama degan merasai kesusahan tersebut..jadi orang2 kaya macam kamu jangan hipokrit.

Comments are closed.