Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada cadangan daripada kerajan untuk memendekkan tempoh tahanan banduan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagaimanapun memberitahu, hak banduan yang layak untuk pelepasan secara perintah parol, pelepasan secara lesen dan pembebasan melalui pengampunan, tidak dihalang.

“Pembebasan seseorang banduan yang selesai menjalani tempoh hukuman, masih dilaksanakan.

“Malah, sebelum setiap pembebasan dilaksanakan, banduan terbabit akan menjalani saringan Covid-19,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (PH-Kepong), Lim Lip Eng yang ingin tahu sama ada kerajaan sedia melaksanakan pembebasan awal terhadap banduan yang tidak melakukan kesalahan serius bagi mengekang penularan Covid-19 dalam penjara.

Mengenai pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) yang dilaksanakan bermula Oktober lalu, Hamzah berkata, rekod Jabatan Penjara menunjukkan kira-kira 11,000 banduan warga negara yang menjalani hukuman kurang dari setahun, layak dipertimbangkan untuk program terbabit.

“Untuk maklumat, statistik Jabatan Penjara sehingga 3 November lalu, terdapat seramai 65,139 banduan iaitu 18,719 melebihi kapasiti 46,420 banduan di semua 39 penjara di seluruh negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara sentiasa mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan serta melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam aspek memperkasakan dan memantapkan pengurusan serta kebajikan banduan secara khususnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette