Wani Syaz muncul dengan single ke sembilan berjudul Habibi.

KUALA LUMPUR – Pernah dikecam kerana cubaan menari dalam muzik video lagu berjudul Pendusta Cinta membuat Wani Syaz kini dikenali ramai.

Ramai kalangan netizen yang menyokong tindakannya dan tidak kurang juga yang mengecam. Namun jika dilihat dari sudut positif, tindakan yang diambil amat bertepatan dengan lagu tersebut malah menampakkan kematangan Wani Syaz.

“Sebagai anak seni saya kena berani mencuba walaupun hakikatnya Wani memang sedikit malu pada awalnya, tetapi bila dah cuba saya rasa selesa dan best pula.

“Jika tak cuba saya tak akan keluar dari zon selesa saya, bimbang nanti peminat akan bosan, dan syukur muzik video tersebut mencecah 26 juta tontonan di Youtube,” kata pemilik nama sebenar Nursyzwani Selamat.

Wani juga pernah menyertai pertandingan Gema Gegar Vaganza (GGV) juga salah satu keputusan berani  sepanjang bergelar anak seni.

“Sebelum menyertai GGV ramai yang tidak tahu dan tidak yakin akan kemampuan saya membawakan lagu-lagu bernada tinggi, tetapi setelah menyertai pertandingan tersebut ternyata saya berjaya membuka mata ramai pihak akan kemampuan saya termasuk syarikat rakaman saya FMC Music,” katanya.

Perjalanan kerjaya seni Wani Syaz hampir mencecah lapan tahun bermula pada tahun 2013 apabila dia muncul dengan single pertama berjudul I Cinta Jer sebelum meledak dengan lagu Lepaskan dan Alhamdulillah.

Single duet  Wani Syaz bersama Wany Hasrita iaitu Sinar Terindah merupakan single pertama Wani berduet dengan artis wanita. Lagu merupakan ciptaan Wani Syaz sendiri dan lirik dihasilkan bersama Wany Hasrita.

Habibi merupakan lagu yang bertemakan irama padang pasir.

Sebelum ini Wani  hanya digandingkan dengan penyanyi lelaki sahaja seperti Juzzthin dan Waris.

Wanita berusia 23 tahun boleh dikatakan antara artis yang tersenarai dalam kalangan selebriti tempatan yang tiada gosip atau cerita negetif. Mungkin kerana sikapnya yang berhati hati dan kurang bergaul sesama artis di dalam industri hiburan.

“Bukan sombong atau tak nak bergaul, tetapi saya lebih selesa bersama ummi (panggilan ibu) walau kemana saya pergi, jika ummi tak ikut ke KL, lepas habis kerja Wani terus pulang ke Batu Pahat bagi menumpukan perhatian kepada restoran kami iaitu Beezer box yang juga terletak di Batu Pahat Johor,” katanya.

Sementara itu, single ke sembilan yang merupakan muzik video dilancarkan di saluran youtube FMC Mussic yang mempertaruhkan lagu padang pasir dengan sentuhan moden.

Habibi merupakan lagu ciptaan dan lirik oleh DJ Fuzz, Aziquebeats dan Waris yang merupakan lagu kedua Wani Syaz digandingkan bersama Waris.

Habibi mengisahkan seorang insan yang ingin mencari teman hidup tidak menjadi masalah bagi Wani Syaz untuk menyanyikan lagu irama begitu kerana irama padang pasir yang diterapkan sentuhan moden merupakan genre kegemaran da bersesuaian dengan vocalnya.

“Moga – moga  lepas  tonton muzik video Habibi ini nanti, tiada yang akan kecam Wani. Bagi lah peluang Wani keluar dari kotak dan zon selesa Wani, kalau boleh dimasa akan datang Wani nak cuba genre yang jauh lebih berbeza supaya Wani dapat buktikan dan cabar  kemampuan vokal Wani”

Wani berharap Habibi akan mendapat tonton yang lebih tinggi berbanding muzik video Pendusta Cinta yang mencecah 26 Juta tontonan. – MalaysiaGazette