Kereta-kereta mewah yang dirampas SPRM dalam Op Selat termasuk penahanan empat lagi individu dalam perkembangan terbaru siasatan kes itu.

KUALA LUMPUR – Empat kereta mewah – Roll Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi dirampas dalam Op Selat semalam, satu penemuan yang disifatkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai mengejutkan.

Ini kerana, menurut sumber, kereta-kereta mewah itu digunakan oleh seorang pegawai Imigresen Gred KP19 dan ia adalah di luar kemampuan beliau.

Menurut beliau, siasatan mendapati kereta mewah itu didaftarkan atas nama dua warga China dipercayai ejen pekerja asing China yang beroperasi di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan.

SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat warga China dan rakyat tempatan terbabit dan sedang mengesan kesemuanya.

Menurut sumber juga, salah seorang ejen tempatan membantu menyimpan kenderaan-kenderaan mewah yang digunakan oleh anggota imigresen sebagai balasan upah untuk membuat setting kaunter di KLIA2.

Pengaturan (setting) kaunter khas itu bertujuan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi tidak menolak lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Op Selat tertumpu kepada siasatan siasatan berhubung kes sindiket rasuah urusan cop palsu di pintu masuk antarabangsa negara dan operasi semalam menyaksikan empat termasuk seorang pegawai imigresen ditahan bagi membantu siasatan.

Op Selat: Pegawai Imigresen, 3 ejen pekerja asing ditahan SPRM

Setakat hari ini, seramai 50 orang telah ditahan iaitu 28 pegawai Imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

Selain itu wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi telah dirampas yang mana nilainya tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Tahniah sprm. Pegawai2 ni tak sedar, yg diorg lepaskan mungkin perisik atau org org yg boleh membawa kerosakan dlm negara.

  2. Tahniah, tahniah dan tahniah. Teruskan usaha2 untuk membenteras penguatkuasa yang tidak ada intergriti, tamak dan tidak ada nilai-nilai agama didalam jiwa. Hanya mementingkan diri dan tidak kepada keluarga.. Allahhuakhbar.

  3. Masa latipah Koyak kat SPRM 22 bulan buat apa… Sibuk nak tangkap musuh politik saja kut. .. Syabas Azam Baki

  4. Bajet tiap2 tahun umum …
    Untung mereka ini sbb bila orang politik dok berbalah atau cari kesalahan ,pegawai awam yg dusta,derhaka ini yang akan rembat dan kaut untung

Comments are closed.