Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Empat lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perkembangan terbaharu siasatan berhubung kes sindiket rasuah urusan cop palsu di pintu masuk antarabangsa negara dalam Op Selat petang semalam.

Sumber memberitahu keempat-empat individu yang dicekup itu berusia antara 28 hingga 52 tahun terdiri daripada seorang pegawai imigresen dan tiga ejen pekerja asing.

“Hasil pendedahan ini mendapati sindiket ini melibatkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa khusus dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.

“Proses setting di kaunter-kaunter Imigresen khusus di KLIA dan KLIA 2 dibuat oleh sindiket antarabangsa yang terdiri daripada ejen-ejen di luar negara,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, mana-mana pelawat yang telah disenaraihitam dan ingin masuk ke Malaysia atas aturan sindiket akan dimaklumkan nama, nombor pasport dan jadual penerbangan mereka kepada ejen-ejen di Malaysia.

Ejen-ejen tersebut kemudian akan berhubung dengan pegawai Imigresen di KLIA dan KLIA 2 untuk mengatur (setting) kaunter yang akan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.

“Begitu juga dengan proses keluar dari negara ini disebabkan senaraihitam, pas lawatan tamat tempoh dan pasport palsu. Hanya kaunter-kaunter tertentu di KLIA dan KLIA 2 akan digunakan oleh pekerja atau pelawat asing,” kata sumber SPRM itu.

Setakat hari ini, seramai 50 orang telah ditahan dalam kes Ops Selat berkenaan iaitu 28 pegawai Imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam sementara wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi telah dirampas yang mana nilainya tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Contoh² pengkhianat bangsa dan negara..berkereta mewah,Mustang dan pelbagai model hasil rasuah.Bila hidup berpaksikan keduniaan,beginilah jadinya.Moga mereka mendapat hukuman yang setimpal

Comments are closed.