Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di ibu negara iaitu Sentul, Brickfields dan Dang Wangi menerima ketua polis baharu, berkuatkuasa hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, majlis serah terima tugas yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) itu dilaksanakan secara tertutup sejak semalam.

Katanya, pada jam 10 pagi semalam Majlis Serah Terima Tugas membabitkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang baharu selesai dengan Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah memulakan tugas secara rasmi.

“Mohamad Zainal pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah D5 Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat Polis Bukit Aman dan kini menggantikan ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah di Dang Wangi.

“Manakala pada jam 3 petang hari yang sama, Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Brickfields antara ACP Zairul Nizam Mohd Zainuddin@Hilmi dengan pengganti baharunya ACP Anuar Omar selesai diadakan.

“Anuar Omar sebelum ini berkhidmat sebagai ACP Lembaga Parol (III) di KDN Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saiful Azly, pada jam 10 pagi hari yang sama beliau yang turut hadir menyempurnakan majlis sama membabitkan Jawatan Ketua Polis Daerah Sentul.

Menurutnya, ACP Beng Eng Lai mengambil alih jawatan itu daripada ACP S.Shanmugamoorthy Chinniah.

Eng Lai sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

“Diharap semua ketua polis baharu yang memulakan tugas rasminya di ketiga-tiga daerah itu dapat memikul amanah yang diberikan oleh pucuk kepimpinan PDRM dengan cemerlang sekaligus menyumbang ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya selamat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi talian hotline 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. -MalaysiaGazette