Tempoh lesen untuk peserta Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) disambung bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

TAHNIAH kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil satu langkah berani dengan memutuskan tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021. DBKL mengumumkan semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional Cina tidak dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.

Menurut DBKL dalam Garis Panduan Lesen Minuman Keras, berkuat kuasa tarikh sama, tiada lagi lesen baharu minuman beralkohol yang memabukkan (LMK) dibenarkan diperbaharui untuk semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina.

Walaupun keputusan ini mengundang pelbagai persoalan, perdebatan dan juga bangkangan dalam segelintir anggota masyarakat yang terkesan namun tindakan berani dan keputusan muktamad ini sangat dialu-alukan. Penulis percaya majoriti
anggota masyarakat menyokong penuh usaha murni DBKL ini.

Dalam hal ini tidak sepatutnya ditimbulkan polemik seperti keputusan ini kononnya melanggar hak orang bukan Islam serta mengancam para peniaga yang terbabit. Keputusan ini perlu dilihat dalam konteks dan ruang lingkup yang lebih besar
melangkaui polemik murahan seperti ini.

Malah keputusan ini juga tidak wajar dikaitkan dengan hukum agama Islam yang melarang perkara ini dalam kalangan umat Islam kerana kita percaya semua agama menjurus ke arah kebaikan dan tidak mahu sesuatu perkara itu mendatangkan kemudaratan kepada penganutnya.

Ironinya kesan negatif arak sudah jelas umpama sudah terang lagi bersuluh dan apa yang nyata ialah kesan negatif ini juga tidaklah tertumpu kepada orang Islam semata-mata.

Hakikatnya arak memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyarakat merentasi agama dan bangsa. Justeru semua lapisan anggota masyarakat perlu menyokong usaha murni DBKL ini dan kita memohon agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain di seluruh negara juga akan mengikuti jejak langkah DBKL ini.

Usah takut atau bimbang untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan yang membawa kebaikan kepada majoriti anggota masyarakat. Ironinya tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua orang.

Oleh itu PBT perlu berani mengorak langkah untuk membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas unsur alkohol yang jelas sekali bukan saja memudaratkan kesihatan tetapi turut boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita.

Apakah kita lupa sekian lama arak menjadi antara punca utama tercetusnya pelbagai konflik dalam keluarga seperti pergaduhan antara ibu bapa dan anak serta suami dan isteri.

Bilangan pasangan yang bercerai kerana masalah arak juga tinggi, malah anak-anak yang didera oleh ibu atau bapa yang ketagih arak juga semakin membimbangkan.

Malah apakah kita lupa begitu banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban di jalan raya dek angkara pemandu mabuk. Kes berkaitan pemandu mabuk di negara ini dilihat amat serius susulan terdapat trend peningkatan kes bagi tempoh tahun lalu
dan enam bulan pertama tahun ini.

Tuntasnya arak adalah ibu kepada segala kejahatan. Arak adalah minuman yang merosakkan kesihatan tubuh, akal fikiran serta meruntuhkan institusi rumah tangga, masyarakat dan negara.

Jadi kita percaya jika semua PBT dapat menguatkuasan larangan ini maka kita dapat membantu membina keluarga yang bahagia dan pada akhirnya keutuhan institusi keluarga di negara kita akan lebih mantap dan terjamin. Malah larangan ini juga boleh menyelamatkan banyak nyawa. Syabas dan tahniah DBKL, PBT lain tunggu apa lagi?

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

2 Komen

Comments are closed.