Anggota kumpulan militan Abu Sayyaf. foto Agensi

MANILA – Tentera kerajaan membunuh dua individu yang disyaki anggota kumpulan militan Abu Sayyaf dalam pertempuran berasingan di selatan Pulau Sulu semalam, termasuk pemimpin kanan yang mempunyai kaitan dengan penculikan warga Eropah dan Indonesia beberepa tahun lalu, kata pegawai tentera.

Pembunuhan tersebut menyaksikan seramai 17 orang yang disyaki anggota Daesh yang dikaitkan Kumpulan Abu Sayyaf terbunuh dalam beberapa siri serbuan dan pertempuran di selatan Filipina pada bulan ini.

Daripada jumlah itu, tujuh orang dibunuh semasa diburu oleh tentera di perairan Sulu pada 3 November lalu.

Pada subuh semalam, unit Pasukan Pendaratan Batalion Marin 1 diserang sepasukan kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai Hatib Munap Binda berdekatan bandar Panamao di wilayah Sulu, menurut laporan tentera.

Pertempuran selama 30 minit menyebabkan kematian Binda dan mencederakan beberapa orang, kata Ketua Tentera Filipina Selatan, Leftenan Jeneral Corleto Vinluan seperti dipetik Benar News.

“Tentera menemui mayat peminpin kanan Abu Sayyaf, Binda,” kata Vinluan sambil menambah pihak musuh terpaksa berundur dan membawa anggota mereka yang tercedera.

Beliau berkata, sepucuk rifal M16 dan rifal tempur M14 ditemui.

Kira-kira sejam selepas itu, satu lagi pasukan marin bertempur dengan serpihan kumpulan Abu Sayyaf di kawasan lain yang menyebabkan seorang suspek kumpulan militan itu, Bensio Barahama terbunuh.

Binda dikenalpasti sebagai rakan sekutu pemimpin kanan Abu Sayyaf, Alhabsy Misaya yang mengetuai aktiviti penculikan bagi mendapatkan wang tebusan di selatan Filipina yang bersempadan dengan Malaysia dan Indonesia, menurut rekod risikan tentera.

Misaya terbunuh dalam pertempuran pada 2017. Selain menculik, dia juga dipertanggungjawabkan ke atas serangan bom yang membunuh tentera Amerika Syarikat pada 2002.

Barahama pula terlibat dalam penculikan dua pemerhati burung, Lorenzo Vinciguerre (warga Switzerland) dan Ewold Horn (warga Belanda), kata tentera.

Mereka diculik pada Februari 2012 bersama jurupandu warga Filipina yang dapat melepaskan diri berhampiran Pulau Tawi-Wati beberapa jam kemudian.

Vinciguerre berjaya melepaskan diri daripada tahanan Kumpulan Abu Sayyaf dua tahun kemudian tetapi Horn terbunuh pada Mei 2019 ketika dia cuba melarikan diri ketika pertempuran antara penculiknya dengan tentera.

Vinluan berkata, Barahama mengetuai kerja-kerja penculikan 10 warga Filipina dan membebaskan mereka apabila menerima wang tebusan.

Pada malam Khamis lalu, suspek ketiga anggota kumpulan Abu Sayyaf ditahan berhampiran Pulau Basilan yang merupakan tempat kelahiran Abu Sayyaf pada pertengahan 1990 an.

Suspek tersebut dikenalpasti sebagai as Ranger Siason (atau Abu Ranger), kata Ketua Polis bandar Isabela, Leftenan Kolonel Homer Dumalag.

Katanya, polis menemui peluru dan bahan letupan di samping bendera IS berikutan  penahanan Siason. – MalaysiaGazette