Tmbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Kamarudin Ismail (tengah) menyerahkan bantuan kepada penerima, Zaiton Omar (dua kiri) pada Program (Angkasa) Coop Care Sumbangan Barang Keperluan Harian di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 50 golongan asnaf dan ibu tunggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak menerima sumbangan barangan makanan daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Timbalan Presidennya, Datuk Kamarudin Ismail berkata, program Sumbangan Barang Asas 100 (BA100) tidak akan menyisihkan semua ahli koperasi yang kini memerlukan bantuan khususnya yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kita sedia maklum ahli-ahli koperasi yang ada di Malaysia berjumlah 6 juta tidak juga terlepas daripada kesan Covid-19,” katanya kepada pemberita hari ini

Terdahulu beliau yang hadir di Surau Al-Taqwa PPR Kampung Baru Air Panas mengagihkan sumbangan kepada 50 penerima dari kategori asnaf dan ibu tunggal di kawasan berkenaan.

Menurut Kamarudin, Angkasa telah menyediakan peruntukan kira-kira RM300,000 untuk menyalurkan barangan makanan kepada golongan yang amat memerlukan menerusi BA100 di seluruh negara.

Katanya, sebagai badan gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan mewakili 14,625 buah koperasi, Angkasa akan meneruskan misi membantu dan menyantuni golongan yang memerlukan.

Melibatkan kos bernilai RM3,500 menerusi Koperasi Ibu Tunggal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Berhad, pek bungkusan sumbangan yang diberikan mengandungi barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, susu dan tepung.

Dalam masa yang sama Kamarudin menyarankan agar
penduduk PPR menubuhkan koperasi untuk mengembangkan rangkaian kedai runcit koperasi yang menawarkan barang
keperluan harian pada harga berpatutan menerusi Projek BA100.

Penubuhan koperasi, katanya, akan membantu memperkasa ekonomi komuniti dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. – MalaysiaGazette