Gambar hiasan

YONG PENG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan pengguna supaya memberi bawang jenis lain buat sementara waktu ini ekoran harga bawang dari India meningkat.

Peningkatan harga bawang India itu disebabkan bekalan berkurangan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, bagaimanapun, pengguna di negara ini mempunyai pilihan bawang yang diimport dari beberapa negara lain seperti Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar dan Indonesia.

“Kita faham, ramai pengguna di negara ini lebih gemar bawang India kerana mempuyai rasa tersendiri tetapi pengguna masih mempunyai pilihan lain,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di kilang pengeluar telur ayam Teo Seng Capital Berhad Yong Peng, Johor.

”India mempunyai dua musim yang menyebabkan tahap pengeluaran bawang daripada negara itu akan berkurangan, lantas menyebabkan harga bawang meningkat.

“Kementerian akan terus mencari dan mendapatkan sumber bekalan bawang daripada negara pengimport bawang lain bagi memenuhi permintaan pengguna dari negara ini,”ujarnya.

Mengulas mengenai musim tengkujuh pada waktu ini, Rosol berkata pemborong boleh menyimpan lebihan bekalan bahan makanan sehingga 30 peratus.

“Kebenaran berkenaan bagi memastikan rakyat tidak terputus bekalan bahan makanan dalam tempoh musim tengkujuh di samping negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya sambil memberi jaminan bekalan makanan negara mencukupi.- MalaysiaGazette