Malaysia Airlines menerima 11 kelulusan ATR.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) telah meminta bantuan kewangan daripada pemiliknya, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ketika perbincangan penstrukturan hutangnya dengan para pemiutang masih berlarutan.

“Malaysia Aviation Group telah meminta sokongan kewangan daripada pemegang tunggalnya,” kata syarikat itu kepada Reuters.

Syarikat itu bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah bantuan yang diperlukan pada ketika ini.

Kumpulan itu mengatakan ia masih dalam perbincangan untuk penstrukturan semula hutang dan mensasarkan perjanjian komersial pada minggu pertama bulan Disember.

Syarikat penerbangan itu mungkin memerlukan sebanyak AS$ 500 juta, kata akhbar mingguan Edge Malaysia, yang melaporkan berita itu tetapi tidak menyebut sumbernya.

Malaysia Airlines perlu melakukan penstrukturan semula selepas pandemik Covid-19 menyebabkan operasinya terjejas.

Sebelum ini, syarikat induk itu telah memberi amaran kepada syarikat penyewaan bahawa Khazanah akan berhenti membiayai kumpulan itu.

Tindakan Khazanah itu berpotensi menyebabkan syarikat penerbangan tersebut ditutup jika perbincangan dengan pemajak tidak berjaya, lapora Reuters bulan lalu.

Khazanah dalam satu kenyataan beberapa bulan lalu berkata, sebarang suntikan dana olehnya ke dalam Malaysia Airlines tertakluk kepada sejauh mana pemiutang di dalam dan luar negara sanggup mengurangkan beban hutang yang ditanggung oleh syarikat penerbangan nasional itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengurangan beban hutang akan membolehkan Malaysia Airlines memantapkan kedudukan kewangannya dan terus maju ke hadapan.

Beliau berkata, sebarang dana yang disuntik ke dalam Malaysia Airlines seharusnya digunakan untuk memperkukuhkan syarikat penerbangan itu serta memelihara sebanyak mana pekerjaan yang termampu, bukannya digunakan sebahagian besarnya untuk menanggung beban hutang pada tahap yang sedia ada. – MalaysiaGazette