Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Perak dilapor bertambah buruk dengan jumlah penduduk yang dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat sekali ganda daripada 319 orang pada 9 malam tadi kepada 736 setakat pukul 6 pagi hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, susulan hujan lebat, daerah paling teruk terjejas adalah Larut, Matang dan Selama (LMS) dengan jumlah keseluruhan penduduk dipindahkan ke empat PPS seramai 569 orang.

Katanya, terbaharu, sebuah lagi PPS dibuka di LMS iaitu di Masjid Toh Paduka, Ijok kira-kira pukul 7 malam tadi yang menempatkan 364 orang dari Kampung Bendang Luas, Kampung Teras, Kampung Masjid dan Kampung Baru Gelugor.

“Selain itu, PPS lain di LMS adalah dewan orang ramai Kampung Seri Ara yang menempatkan 55 orang selepas kampung itu dilanda banjir kilat; 47 lagi berada di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang dan di Dewan Semai Bakti Felda Ijok terdapat 103 orang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, bagi daerah Kerian terdapat 152 orang berlindung di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka sejak Jumaat lepas selepas tujuh kampung dilanda banjir kilat antaranya Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis dan Kampung Parit Abu Hassan Ban.

Ujarnya, di Hilir Perak pula seramai 15 orang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan selepas kediaman mereka di Kampung Belakang Kilang Kacang dan Lorong Bendera 1, Kampung Sungai Tukang Sidin dinaiki air susulan banjir kilat.

Operasi memindahkan penduduk dan penugasan di PPS melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba, polis, dan Rela. – MalaysiaGazette