Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) konsisten dengan pendiriannya untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 sekiranya dua permohonan utama diluluskan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz masih mempunyai masa untuk memberi pertimbangan sehingga Khamis ini.

“Belanjawan 2021 ada dibincangkan dalam mesyuarat bersama Presiden UMNO petang tadi.

“Tentunya kita menyokong Belanjawan dan sokongan kita juga memohon agar dua permohonan utama akan diluluskan.

“Kita ada masa sehingga Khamis ini bagi pertimbangan Menteri Kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato Onn, hari ini.

Terdahulu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian hadir dalam mesyuarat Menteri-Menteri BN bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak jam 5 petang tadi.

Sebelum ini, BN menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat Majlis Presiden BN memutuskan Menteri-Menteri BN perlu mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden UMNO setiap dua minggu sekali.

“Presiden dan saya akan bertemu dengan Menteri-Menteri BN untuk kita berbincang tentang dasar-dasar kerajaan.

“(Kemudian) kita boleh memberikan pandangan terhadap dasar-dasar yang ingin kita cadangkan kepada kerajaan melalui Menteri-Menteri BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette