Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Saringan ujian Covid-19 kepada mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) hanya akan dibuat sekiranya perlu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan ujian saringan sekiranya terdapat bangsa banjir di PPS yang menunjukkan gejala.

“Hanya individu yang mempunyai gejala akan disaring KKM,” katanya ketika sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Katanya lagi, KKM telah membangunkan panduan pencegahan pengurusan wabak berkenaan di PPS yang telah disediakan sebagai panduan.

Panduan tersebut ujarnya telah dimaklumkan kepada pejabat kesihatan negeri untuk tindakan.

“Contohnya kubikal antara satu sama lain adalah hendaklah dengan jarak dua meter, pastikan ada tempat cuci tangan dan pemakaian pelitup muka, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) serta sebagainya.

“Ini adalah kesiapsiagaan KKM setiap tahun tetapi tahun ini berbeza sedikit kerana ada langkah- langkah untuk elakkan jangkitan Covid-19.

“Kebersihan semasa banjir perlu dijaga bukan sahaja untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 tetapi penyakit berjangkit yang lain,” tambahnya,

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya keperluan KKM melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap mangsa banjir yang ditempatkan di PPS dalam keadaan musim banjir kini melanda di beberapa negeri.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut bermula 11 November lalu dan berakhir Mac 2021.-MalaysiaGazette