Kenaikan harga bawang menyumbang kepada lonjakan IHP pada bulan Januari. Gambar : Noor Asrekuzairey Salim

KUALA LUMPUR – Kerajaan India pada 14 September lalu telah mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang bagi menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku pada Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hanya dua jenis bawang sahaja yang India benarkan eksport ke negara lain sehingga kini iaitu Bangalore Rose dan Krishnapuram.

Justeru katanya, sebab itulah berlaku peningkatan harga bawang dari negara berkenaan kerana bekalan kini semakin terhad.

“Harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan. Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik.

“Inilah yang juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan situasi terkini, menurut Alexander, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara ini di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.

“Pihak KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan yang dalam bidang kuasa kementerian seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan,” katanya lagi.

Beliau berharap para pengguna dapat memuat turun aplikasi Price Catcher yang membolehkan pengguna memeriksa harga barang melalui aplikasi tersebut dan carilah kedai yang berdekatan untuk mendapatkan harga barang yang terbaik.

Terdahulu beliau berkata, pengimportan bawang adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di mana KPDNHEP bertindak dalam memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran termasuk bekalan bawang.

Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 buah negara dimana lima (5) negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (36%), Pakistan (23%), China (19%), Belanda (9%) dan Thailand (7%).

Daripada jumlah ini, India merekodkan jumlah pengimportan bawang sebanyak 149,539,411 kg, yang mana jumlah besar ini adalah berdasarkan minat dan cita rasa rakyat Malaysia.

Untuk rekod terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose (Import), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland).-MalaysiaGazette