Mayat bayi dalam beg plastik bersama sekeping nota.

KUALA LUMPUR – Hasil maklumat dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ruang hadapan sebuah masjid, polis berjaya menahan dua suspek yang dipercayai telah bertindak meninggalkan mayat seorang bayi di Sg Way.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superitendan Ku Mashariman Ku Mahmood dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan, 25, dan wanita asing berusia 26 tahun ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan SS3/39 Petaling Jaya.

Hasil siasatan awal, katanya, kedua-dua suspek mengaku meninggalkan mayat bayi perempuan di hadapan masjid tersebut.

“Pada 22 November (Ahad), jam lebih kurang 8.45 malam, Polis Daerah Petaling Jaya telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun.

“Pengadu merupakan imam sebuah masjid di kawasan Sg Way yang telah menjumpai mayat bayi perempuan yang dibungkus di dalam plastik dan diletakkan di sebelah tayar kereta miliknya di hadapan masjid tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pengadu turut menemukan sehelai kertas tertulis nota meminta bantuan pihak masjid menguruskan bayi yang dianggarkan berusia empat bulan itu.

Kedua-dua suspek kini direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Kesiksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette