Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM15 juta telah diluluskan bagi melaksanakan rekabentuk dan kerja-kerja awalan menaik taraf, pembesaran dan pembangunan semula Kompleks Terminal Jeti Pulau Pangkor.

Menteri Ekonomi , Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejumlah RM7 juta telah diluluskan untuk projek ini pada tahun hadapan untuk reka bentuk dan kerja-kerja awalan ini merangkumi jeti utama penumpang dan jeti kargo di Pulau Pangkor.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) mengenai status permohonan projek naik taraf jeti penumpang di pulau bebas cukai itu.

Mengulas mengenai permohonan memendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor dari 48 jam ke 24 jam, beliau berkata, pemendekkan tempoh kepada 24 jam tidak dapat dipertimbangkan, selaras dengan layanan sama yang diberikan kepada pulau bebas cukai lain.

Jelasnya, penetapan tempoh berada di pulau bebas cukai tidak kurang dari 48 jam bagi melayakkan pengecualian cukai bertujuan supaya pelancong asing dan tempatan dapat meluangkan masa lebih lama di pulau bebas cukai.

Tujuannya bagi membantu menjana ekonomi setempat melalui penginapan di hotel, pembelian makanan dan minuman di restoran mahupun gerai jualan, pembelian kraftangan tempatan serta lain-lain perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan di Pulau Pangkor.

“Sekiranya tempoh 48 jam dipendekkan kepada 24 jam, ia akan memendekkan tempoh masa pelancong berada di pulau bebas cukai, sekali gus boleh mengurangkan kesan limpahan ekonomi setempat dan memberi kesan kepada industri pelancongan pulau bebas cukai secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette