Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencapai kemenangan besar apabila berjaya merangkul tujuh belas pingat di 31st International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2020) versi atas talian.

KUALA LUMPUR – Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menang besar apabila berjaya merangkul  sebanyak 17 pingat di 31st International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2020) versi atas talian.

ITEX 2020 merupakan anjuran Concept, Innovative & Strategy (C.I.S) Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Invention & Design Society (MINDS) berlangsung secara atas talian bermula dari 12 hingga 21 November lalu menerusi penjurian penuh berdasarkan pembentangan melalui video.

Pertandingan berkenaan disertai oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam negara serta membabitkan institusi pendidikan dari seluruh dunia melibatkan lebih 500 produk inovasi dipertandingkan.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM memperoleh kejayaan besar apabila kesemua tujuh belas penyertaannya telah merangkul pingat sekaligus memberi kemenangan total.

Daripada 17 pingat yang telah dimenangi, UTeM telah berjaya merangkul 10 pingat emas, empat pingat perak dan tiga gangsa sekaligus memberi gambaran hasil inovasi universiti ini terus diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, selari itu UTeM menetapkan penyertaan bagi penyelidikan yang berkualiti dan memberi fokus kepada kumpulan produk inovasi yang memberikan impak kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep TUNAI iaitu Technology at University Advancing Industry and Community.

“Konsep penyertaan UTeM juga mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada ITEX 2020 versi atas talian itu, 10 pingat emas yang dimenangi UTeM antaranya menerusi produk Removal Of Carbon Deposit Build Using HHO Engine diketuai oleh Prof. Dr. Noreffendy Tamaldin, Fault Diagnosis With Convolutional Neural Network diketuai oleh Dr. Amat Amir Basari dan 3 Dimensional 4h-Sic Mosfet (FINFET) diketuai Dr. Muhammad Idzdihar Idris.

A New Design Of Progressive Drill Reamer diketuai Prof. Madya Dr. Shukor Salleh, Eco EDM Dielectric Fluid For Coating Purpose diketuai Prof. Madya Dr. Liew Pay Jun dan Ecoglow Tiles diketuai Dr. Mohd Sanusi Abdul Aziz.

Empat produk lagi adalah A Smart Postural Angle Classification System diketuai Dr. Isa Halim, Individual Blended Learning Achievement Indicator diketuai Dr. Zurina Sa’aya, Smart Portable Electrical Socket Wireless Bio-Cont diketuai Shamsul Fakhar Abd Gani dan Fish Deboning Machine For Butterfly Fillet diketuai Nurul Kausar Ab Majid.

Empat produk inovasi UTeM yang telah berjaya mendapat pingat perak pula adalah Optimized Cutting Tool For Composite Mat (OPT4COM), Organic Plastic Alternative (OPA), Tuah Parcel Dropbox dan Myfeeling.

Sementara itu, tiga pingat gangsa pula diraih oleh produk inovasi Malaysian Sign Language Data Glove, Smart Reverse Vending Machine With Iot serta Learning Kit for Electronic Engineering.- MalaysiaGazette