Dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Dutamas 1, Sri Hartamas, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah kereta Honda Jazz rentung terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Dutamas 1, di sini hari ini

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.06 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba Sri Hartamas digegaskan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT-1.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian terdapat kebakaran melibatkan dua buah kenderaan. Kenderaan yang terbakar sebuah Nissan Navara terbakar 80 peratus dan sebuah lagi jenis Honda Jazz terbakar 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan api pada kedua-dua kenderaan berjaya dipadamkan.

Sehingga kini, bomba masih lagi menyiasat punca kejadian itu berlaku. – MalaysiaGazette