Operasi merobohkan bengkel penyelenggaraan jentera berat di atas tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di Kampung Dato Lee Kim Sai, Rawang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor tidak akan bertolak ansur dengan penceroboh tanah rizab sungai dan mana-mana pihak yang mencemari sungai di negeri itu selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi bersepadu perobohan struktur haram bermula hari ini merupakan antara tindakan tegas yang diambil bagi melindungi sumber air di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas kepada para pencemar dan kilang tanpa kebenaran.

“Operasi perobohan ini akan diteruskan lagi bagi menangani pencemaran yang berlaku di lembangan Sungai Selangor,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya, hari ini.

Awal pagi tadi, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis menjalankan operasi bersepadu merobohkan dua bengkel jentera berat di rizab Sungai Rawang di Kampung Dato Lee Kim Sai, dekat sini.

Selain itu, terdapat enam lagi struktur haram yang dibina di sepanjang Sungai Rawang akan dirobohkan secara berperingkat-peringkat hingga hujung tahun ini.

Amirudin juga mengesahkan bahawa dua bengkel penyelenggaraan jentera berat yang dirobohkan hari ini merupakan struktur haram yang dibina tanpa kebenaran kerajaan negeri.

“Operasi bersepadu perobohan kilang dan premis haram yang dibangunkan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan rizab lembangan sungai,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.