Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mulai semalam diarah menjalani proses kuarantin wajib di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Daripada 73,713 individu yang telah pulang ke tanah air, seramai 10,152 daripadanya sedang menjalani kuarantin wajib.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 405 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 63,156 telah dibenarkan pulang.

“Sejak 24 Julai sehingga 23 November 2020, seramai 73,713 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 76 hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, kesemua individu dari pintu sempadan itu adalah daripada 36 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India dan UAE.

“Selain itu, dari Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK (united Kingdom), Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan seramai 329 ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 311 individu telah dikompaun manakala lima individu pula direman dan 13 dijamin. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (131), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (51),” jelasnya.

Beliau selain itu menyifatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 di 895 premis perniagaan sebagai memuaskan.- MalaysiaGazette