Logo Muslim Pro

KUALA LUMPUR – Aplikasi mudah alih Islam, Muslim Pro menafikan dakwaan mereka menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) yang menerima penjelasan pembangun aplikasi mudah alih Islam berkata, Muslim Pro memaklumkan maklumat yang diberikan pihaknya kepada X-Mode bukan data peribadi.

“Pihak Muslim Pro amat komited melindungi data peribadi penggunanya mengikut lunas undang-undang serta peraturan perlindungan data peribadi.

“Hingga kini, sebanyak 72 peratus pengguna applikasi Muslim Pro masih merupakan pengguna yang tidak berdaftar dan ini meningkatkan ketanpanamaan (anonymity) aplikasi tersebut,” demikian menurut kenyataan yang sama.

Sebelum itu, tular di media sosial mendakwa aplikasi yang berpangkalan di Singapura itu menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera AS bagi tujuan anti keganasan.

Pada masa sama, JPDP menggesa pembangun aplikasi tersebut memastikan keselamatan data peribadi pengguna agar tidak disalah guna.

JPDP turut mengingatkan pengguna data agar mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang digariskan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).- MalaysiaGazette