Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat khas pada 27 November ini untuk menetapkan tarikh bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, mesyuarat khas itu akan berlangsung pada pukul 9.30 pagi bertempat di Menara SPR, Putrajaya.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Hasbullah Osman atas kematian Allahyarham pada 16 November lalu dan keluarga Manis Muka Mohd. Darah.

Manis Muka meninggal pada 17 November lalu.

SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 18 November lalu berhubung kekosongan dua kerusi berkenaan.

Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.- MalaysiaGazette

Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

ADUN Bugaya meninggal dunia