BENAR awalnya pesanan Yang Di Pertuan Agong telah menitahkan bahawa semua Ahli Parlimen yang ada seramai 220 (MP Gerik dan Batu Sapi meninggal dunia) perlu menyokong Belanjawan 2021 atas semangat cintakan negara bagi mengelakkan negara terjerumus ke kancah yang tidak sihat, sekali gus mengundang masalah yang berpanjangan ditambah bilangan angka kes Covid- 19 kian meningkat.

Namun demikian hari ini kita boleh melihat bukan sahaja pembangkang sahaja mengkritik dan meminta untuk dilaksanakan beberapa pindaan, malah Ahli Parlimen di pihak kerajaan sendiri telah merayu dan mengesyorkan agar Belanjawan 2021 ini menuruti kehendak rakyat masa kini yang
tertekan akibat kuasa beli yang semakin hari semakin hari kurang.

Boleh saja kita terjah ke media sosial YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Kewangan begitu ramai sekali rakyat yang merintih dan merayu agar pengeluaran sejumlah wang daripada akaun 1
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta berharap tempoh moratorium dilanjutkan untuk tempoh 6 bulan bagi mereka yang layak (M40 dan B40)

Amat jelas sekali, rakyat sudah menunjukkan amarah mereka kepada kerajaan yang masih belum dilegimitasi dalam Parlimen, apatah lagi isi belanjawan yang sangat tidak masuk akal dengan mahu mewujudkan semula badan JASA yang dilihat sangat tidak adil buat barisan hadapan yang berkorban apabila frontliner hanya menerima elaun tambahan khas sebanyak RM500 secara one-off jelas saya mengharapkan agenda mewujudkan JASA perlu dilupakan buat seketika kerana proses berhadapan Covid-19 ini memakan tempoh masa yang panjang, sekali gus memerlukan bantuan dana yang disalurkan kepada mereka yang tepat iaitu anggota barisan hadapan bukannya “pekerja politik”.

Juga ingin saya tegaskan setelah meneliti isi belanjawan 2021 ada satu perkara yang jelas menarik perhatian mata saya sebagai seorang mahasiswa di institusi bumiputera yang terulung iaitu
pemotongan dana UiTM sekaligus bakal menyebabkan UiTM menghentikan program pensyarah sambilan dan memotong perancangan strategik.

Jelas saya amat kecewa sudahlah kebajikan mahasiswa tidak dipandang tinggi walaupun menerima pelbagai cabaran masa kini malah peruntukan kepada UiTM juga bakal dipotong jadi sangkaan ramai bahawa kerajaan Perikatan Nasional hari ini merupakan sebuah kerajaan dipelopori Melayu Islam
hanyalah retorik kosong semata-mata.

Besar harapan saya agar Belanjawan 2021 ini dapat dipinda dengan memasukkan elemen yang dapat membantu mahasiswa dan rakyat B40 yang terkesan hari ini kerana pandemik Covid19 telah mengancam bukan saja nyawa malah poket mereka juga. Sekiranya tidak ada pindaan saya menggesa agar semua Ahli Parlimen yang punya persefahaman agar suara rakyat lebih diutamakan untuk menolak Bajet 2021 esok hari.

Muhammad Abrar Sadiq Azizi
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Kepala Batas