Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Selepas negara semalam dikejutkan dengan jumlah kes baharu positif Covid-19 tertinggi iaitu 2,188 kes – hari ini jumlah kes harian kembali turun kepada tiga angka iaitu 970 kes.

Manakala jumlah kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 2,348 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada 46,501 kes atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 59,817 kes.

Justeru katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 12,971 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 965 kes adalah merupakan penularan Covid-19 di dalam negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Negeri Sembilan hari ini mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 318 kes (32.8 peratus) diikuti Sabah dengan 293 kes (30.2 peratus) dan disusuli negeri Selangor sebanyak 115 kes (11.9 peratus).

Tambah Noor Hisham, peningkatan kes di Negeri Sembilan banyak dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Bakti yang melaporkan sebanyak 301 kes (94.7 peratus).

Malah katanya, sebanyak 318 kes iaitu 32.8 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Bakti (301 kes), Kluster Tembok (12
kes), Kluster Matambai (3 kes), Kluster Penjara Sandakan (satu kes), dan Kluster Penjara Reman (satu kes).

Dalam pada itu, sehingga kini, jelas Dr Noor Hisham, terdapat 110 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat lagi kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes kematian di dalam negara setakat ini adalah 345 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kesemua empat kes itu direkodkan di Pulau Pinang (satu kes), Wilayah Persekutuan Labuan satu kes dan dua kes dari Sabah membabitkan empat wanita iaitu tiga daripadanya warga asing.

“Kematian ke 342 adalah kes 42, 004 iaitu wanita berusia 73 tahun meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang manakala kematian ke-343 adalah kes 56, 682 melibatkan wanita asing berusia 68 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

“Kematian ke 344 melibatkan kes ke 56, 891 iaitu wanita berusia 54 tahun mempuanyai penyakit kencing manis meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent dan akhirnya kematian ke 345 membabitkan kes 58, 707 juga wanita berusia 77 tahun telah meninggal dunia di Hospital Labuan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette