Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Shahean @ Askolani menyampaikan bantuan kewangan COVID-19 kepada wakil Persatuan Sukan Wilayah Persekutuan.-BERNAMA

PUTRAJAYA – Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) tidak akan bertanding sebagai tiga kontinjen berasingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) sebaliknya kekal sebagai sebuah kontinjen dengan membawa ‘Semangat Wilayah Persekutuan’.

Pengerusi MSWP Datuk Ramlan Shahean @ Askolani berkata MSWP mahu terus membariskan atlet-atlet erbaik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk kekal sebagai pencabar utama untuk gelaran juara keseluruhan temasya sukan dwitahunan itu .

“Objektif SUKMA memang hendak lahirkan pemain Bawah-21 tahun. Di samping itu, apabila kita bertanding, sudah pasti kita mahu menjadi juara. Objektif utama MSWP adalah untuk melahirkan bakat-bakat baharu yang berpotensi mewakili negara di temasya seperti Sukan SEA dan Asia.

“Di sebalik itu, kita juga mahu mengekalkan status kita selaku pencabar utama juara keseluruhan dan merangkul seberapa banyak pingat yang boleh untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan COVID-19 kepada beberapa wakil 90 persatuan sukan yang berdaftar dengan MWSP.

Sejumlah RM180,000 diperuntukkan MWSP bagi meringankan beban persatuan sukan berkenaan yang terkesan akibat pandemik itu.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) ketika mengadakan pertemuan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada September lepas, mencadangkan supaya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bertanding secara berasingan di SUKMA supaya dapat membantu melahirkan lebih ramai atlet muda, berbanding bergabung sebagai kontinjen Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan menamatkan saingan pada temasya SUKMA 2018 di Perak sebagai naib juara dengan mengumpul 52 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa manakala Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan (56-51-53).

Ramlan, bekas pemain bola sepak kebangsaan yang dilantik sebagai Pengerusi MSWP 1 Sept lepas, turut menyokong keputusan untuk membatalkan dan menangguhkan SUKMA ke-30 di Johor sehingga 2022 berikutan situasi wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan pada masa ini.

Sementara itu, Pengarah MSWP Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata atlet SUKMA Wilayah Persekutuan yang kini menjalani program latihan di rumah sambil dipantau oleh jurulatih dijangka kembali menjalani latihan secara kuarantin bermula Januari ini.

“Kita akan melantik jurulatih dahulu, kemudian merangka program dan mula latihan di venue yang akan ditetapkan. MSWP juga mahu penganjur menaikkan had umur penyertaan SUKMA Johor kepada 23 tahun.

“Ia kerana kita harus berlaku adil dan memberikan peluang kepada atlet yang sudah membuat persiapan sejak dua tahun lalu selepas SUKMA Perak tamat. SUKMA adalah medan menguji potensi mereka selepas tiada sebarang kejohanan pada tahun ini,” katanya.- BERNAMA