KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencipta sejarah baru apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Kejohanan sulung eSport Uni League
2020 apabila berjaya mendahului saingan hebat daripada 67 institusi pengajian tinggi lain.

Kejohanan ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan UTeM selaku tuan rumah bagi penganjuran kali ini.

Kejohanan ini telah bermula dari 30 Oktober dan berlangsung selama 3 minggu bagi pusingan awal, manakala perlawananan Grand Final berlangsung pada 21 hingga 22 November 2020 lalu melibatkan 7 acara dipertandingkan iaitu Arena of Valor (AOV),
Mobile Legend Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Player Unknown Battleground (PUBG Mobile), FIFA2020, PES 2020 dan Honor of King (HOK).

Pasukan UTeM merangkul juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League- 2020 dan membawa pulang piala pusingan kejohanan di samping 3 kejayaan lain iaitu juara bagi acara AOV, tempat ketiga bagi acara HOK dan tempat keempat bagi
acara PUBG Mobile.

Selaku juara bagi kategori AOV melayakkan pasukan UTeM membawa pulang wang tunai RM 3,000.00 bersama pingat manakala bagi kedudukan tempat ketiga pula melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,000.00 bersama pingat dan tempat keempat pula turut memberikan hasil wang tunai RM 500.00 bersama pingat.

Bagi kategori AOV dianggotai oleh 5 orang mahasiswa UTeM yang terdiri Muhammad Ilyas Azahir, Wan Muhammad Firdaus Abdul Latip, Faisal Hakim Mohd Suhaidi, Muhammad Firdaus Azman dan Muhammad Ezzat Ainuddin Mohd Hussin.

Sementara itu bagi kategori HOK pula adalah terdiri daripada Simon Teo Yip Quan, Lee Zher Ye, Yee Yen Hoe, Chuan Chuan You, Lee Mun Heng dan Loh Ee Hong manakala bagi kategori PUBG Mobile terdiri daripada Ariz Mustaffar, Muhammad
Shamil Shaiful, Muhamad Haziq Haikal Kamarudin, Danial Irfan Abd Halim dan Wan Ashraf Idham Wan Abdullah.

Pasukan kontinjen UTeM telah diuruskan dengan baik yang diketuai oleh Pengarah Pusat Sukan UTeM, Prof Madya Dr. Mohd Sanusi Azmi dan dibantu oleh Pegawai Belia dan Sukan Kanan, UTeM, Siti Sarah Bujang.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini menyerlahkan kecemerlangan mahasiswa universiti ini yang dikenali sebagai TUAH UTeM dalam arena sukan era masa kini yang telah mula mendapat perhatian ramai dalam dan luar negara.

Katanya, Kejohanan E Sukan Uni League 2020 ini juga turut menjadi medan terbaik bagi mahasiswa memulakan langkah pertama ke dunia e sukan pada tahap yang lebih tinggi atau profesional.

Secara umumnya, naib juara keseluruhan Kejohanan eSport Uni League 2020 adalah menjadi milik Universiti Malaysia Pahang (UMP) manakala tempat ketiga pula telah dimenangi Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). – MalaysiaGazette