Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin COVID-19 daripada China,  kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian semasa melakukan kunjungan perpisahan ke atas beliau di bangunan Parlimen semalam.

Katanya Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada China atas komitmen tersebut.

 ‘’TYT  (Tuan Yang Terutama) Bai Tian turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi  sokongan dalam pelbagai aspek kepada negara itu, khususnya ketika pandemik COVID-19 melanda Wuhan awal tahun ini.

“Beliau menganggap Malaysia sebagai negara sahabat sangat akrab yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan ketika China berdepan musibah,’’ kata Muhyiddin dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin melahirkan perhargaan kerajaan Malaysia  terhadap sumbangan Bai Tian dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-China yang kini berada pada tahap sangat tinggi sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1974.

‘’Saya nyatakan bahawa China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 11 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan tahun lepas merekodkan  RM315.19 bilion. Pada 2019 juga nilai pelaburan China di Malaysia ialah sebanyak RM18.25 bilion, menjadikan negara itu sebagai sumber pelaburan langsung asing ke-10 terbesar di Malaysia.

“Saya nyatakan bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari China menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk melabur, terutamanya di sektor industri berteknologi tinggi,’’ kata perdana menteri.

Menurut Muhyiddin,  kerajaan China turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang menyaksikan pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur serta pelancaran Visi Putrajaya 2040.

Muhyiddin berkata pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur dan pelancaran Visi Putrajaya 2040 itu bakal menjadi aspirasi baharu kepada komuniti APEC bagi pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pada pertemuan itu, Muhyiddin turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Bai Tian yang akan menamatkan perkhidmatannya esok (27 Nov) dan pulang ke Beijing selepas tiga tahun berada di negara ini.

— BERNAMA