Arkib Petugas barisan hadapan merehatkan diri selepas melakukan kerja menguruskan para penghuni pusat perniagaan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi melakukan ujian saringan susulan penularan wabak Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,555 kes sembuh Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 49,056 kes sembuh bersamaan 80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu positif Covid-19 adalah sebanyak 935 kes.

Beliau berkata, Sabah mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 326 kes diikuti Selangor sebanyak 161 kes, Negeri Sembilan (158).

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 60,752 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 11,348 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 931 kes adalah merupakan penularan Covid-19 dalam negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu beliau memaklumkan 103 kes baharu yang dilaporkan hari ini berkaitan dengan kluster-kluster di lokap dan penjara melibatkan Kluster Bakti (95 kes), Kluster Tembok (5 kes), Kluster GK Tawau (2 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

Dalam pada itu Hisham berkata terdapat tiga kematian akibat wabak berkenaan, selain 110 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“45 kes memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 348 kes,” tambahnya. -MalaysiaGazette