Tan Sri Abu Kassim Mohamed. foto SYAFIQ AMBAk, 07 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pelaksanaan Pencegahan Rasuah akan mengkaji semula dan seterusnya mewujudkan garis panduan pemberian surat sokongan dan menyemak semula peranan Setiausaha Politik.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, mesyuarat yang dipengerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu membangkitkan kesan terhadap surat sokongan ke atas pegawai awam dan ia memerlukan ketelusan.

“Kerajaan juga bersetuju menyemak balik peranan Setiausaha Politik kerana dalam sejarah lepas mereka banyak memainkan peranan melebihi tanggungjawab asal (dengan) membuka ruang dan peluang berlaku rasuah,” katanya pada majlis pelancaran Buku Pelan AntiRasuah PDRM 2020-2024 di Bukit Aman.

Inisiatif itu direncanakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diketuai Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya dan dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Hadir pada majlis Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, kerajaan akan meneruskan usaha membasmi rasuah dan menambah beberapa inisiatif baharudalam Pelan AntiRasuah Nasional.

“Saya nak kongsi sedikit pengalaman saya mendraf pelan integriti AntiRasuah Nasional pada 2019 kerana selepas setahun lebih pelaksanaan, negara kecapi pencapaian besar dengan keazaman SPRM. KPI rasuah negara terbaik berbanding 20 tahun terakhir yang lepas.

“Ini satu indikaor kita dalam landasan yang betul ke arah membentuk negara tanpa rasuah,” ujarnya.

Abu Kassim berkata, beliau pernah berkongsi pandangan dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamd ketika itu bahawa sekiranya mahu menang perang rasuah, kepimpinan negara perlu menerima hakikat bahawa negara mempunyai masalah.

“Dengan penuh kesederaan kita kena terima hakikat kita bermasalah besar dan apabila menerokai inisiatif kena terima kadang-kadang ia agak sensitif dan mungkin tidak digemari dan disenangi semua, tapi itulah yang terbaik.

“Itu sebabnya saya berjaya minta kerajaan sebelum ini supaya semua anggota pentadbiran isytihar harta dan mereka perlu isytihar apa juga hadiah yang diperolehinya tetapi ia bukan mudah sebab kebanyakan negara gagal melaksanakannya,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Abu Kassim berkata, pihaknya telah meminta kerajaan meneliti semula dasar pembiayaan politik kerana percaya pembiayaan dana politik merupakan punca utama rasuah. – MalaysiaGazette