Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai sebanyak 37.5 peratus kepada RM2.41 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 berbanding RM3.86 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyusutan keuntungan itu disebabkan penurunan penggunaan elektrik apabila banyak perniagaan tidak boleh beroperasi akibat Covid-19.

Ia juga disumbang oleh kesan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 sebanyak RM595.1 juta serta kerugian tukaran matawang asing yang belum terealisasi sebanyak RM174.3 juta.

Kelembapan ekonomi disebabkan oleh penutupan fizikal premis perniagaan, terutamanya sektor perindustrian dan komersial sepanjang perintah kawalan pergerakan (MCO) mengakibatkan penjualan elektrik merosot kepada 82,283.6 GWj pada sembilan bulan pertama tahun ini berbanding dengan 87,751.5 GWj pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan kumpulan juga berkurangan 13.2 peratus  kepada RM33.65 bilion berbanding RM38.76 bilion tahun lepas disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada syarikat-syarikat subsidiari dan lebihan pemulihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.48 bilion berbanding rebat pemulihan RM2 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Namun margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada sembilan bulan pertama 2020 kekal pada 40.9 peratus disebabkan oleh penurunan perbelanjaan operasi sebanyak 18 peratus pada sembilan bulan tahun kewangan 2020 kerana Kumpulan menyesuaikan diri dengan keperluan operasi termasuk sekatan pergerakan berikutan pandemik COVID-19.

“Pada suku ketiga berakhir September 2020, permintaan dan penjualan elektrik meningkat berbanding pada suku sebelumnya kerana sebahagian besar sektor industri dan komersial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amir Hamzah, sejajar pemulihan ekonomi, permintaan maksimum 16,570 GWj pada suku ini menghampiri tahap dicapai pada 2019 iaitu 16,894 GWj.

Hasilnya, penjualan dan kutipan meningkat secara berperingkat. Kami akan terus memantau trend ini ketika negara menghadapi gelombang ketiga COVID-19.

Untuk setahun penuh, TNB katanya, menjangkakan penggunaan elektrik secara keseluruhan akan berkurangan antara enam hingga 10 peratus tahun ke tahun. MalaysiaGazette