Ops Benteng Polis bertugas di 57 lokasi SJR di seluruh negara, diikuti Ops Penawar 214 dan Ops Benteng AKSEM sembilan SJR. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga kategori Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi tugasan kawalan sempadan negara ditukar kepada Ops Penawar dan Ops Benteng.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kategori itu ialah Ops Penawar melibat anggota tentera, polis dan Rela, manakala dua lagi ialah Ops Benteng Polis dan Ops Benteng AKSEM (Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia).

Katanya, tugasan mereka ialah mengadakan SJR di seluruh negara bagi mengekang sempadan negara dibolosi serta diceroboh pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurut beliau, semalam, sebanyak 280 SJR telah diadakan melibatkan Ops Penawar 214 lokasi, Ops Benteng Polis (57) dan Ops Benteng AKSEM (sembilan).

“Dalam operasi itu, seramai 32 Pati, dua tekong telah ditahan dan pihak berkuasa turut merampas 10 kenderaan darat, dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan.

“Kerajaan tidak berkompromi dalam hal ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kawalan sempadan negara melibatkan polis, ATM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan AKSEM.

Ismail Sabri Yaakob

Katanya, mereka mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, mengenai Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa telah membuat sebanyak 60,038 pemeriksaan semalam.

“Pemeriksaan melibatkan 13,390 anggota ini menjalankan tugas memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Dalam pemeriksaan ini, polis telah menahan 243 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan dari jumlah itu, 217 telah dikompaun, manakala 26 lagi direman.

“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette