Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat umum namun imej pasukan keselamatan itu juga tercalar daripada beberapa siri tangkapan anggotanya atas kesalahan jenayah, rasuah dan dadah.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui terdapat segelintir angota polis membawa budaya buruk itu berkata, ia menyebabkan pasukan keselamatan itu dihukum, dicaci serta dituduh oleh masyarakat.

Tambah beliau, pihaknya tidak pernah berkompromi dengan perlakuan rasuah, perlanggaran peraturan atau undang-undang yang melibatkan anggotanya.

“Bahkan tindakan tegas menyusul termasuklah penamatan perkhidmatan, Peraturan 49 Peraturan Pegawai Kanan, Kelakuan dan Tatatertib 1993 akan diambil ke atas petugas yang terlibat jenayah dalam gejala rasuah serta kesalahan serius lain.

“Selain itu, pembangunan Pelan Antirasuah PDRM 2020-2024 adalah bukti komitmem pasukan untuk menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan.

“Disamping sikap tangggungjawab serta integriti dalam urustadbir dan penyampaian perkhidmatan PDRM adalah tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Buku Pelan AntiRasuah PDRM 2020-2024 di Bukit Aman pagi ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Komisioner Datuk Zamri Yahya, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Datuk Seri Azam Baki
dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Buku itu dihasilkan secara kolektif oleh JIPS Bukit Aman.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, Pelan Anti Rasuah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menetapkan enam bidang yang perlu diberi keutamaan.

Bidang tersebut ialah tadbir urus organisasi dan sumber manusia, risikan keselamatan, risikan dan penguatkuasaan undang-undang, siasatan dan pendakwaan, ketenteraman awam dan kelulusan kewangan dan perolehan.

Ujar beliau, berdasarkan enam bidang strategi utama itu sebanyak 53 inisiatif telah dibangunkan bagi melahirkan warga kerja PDRM yang berintegriti dan berdaya saing.

Antara inisiatif itu ialah mengukuhkan modal insan, memperkasakan kredibiliti dan integriti maklumat risikan keselamatan, meningkatkan integriti dalam menguatkuasakan undang-undang dan meningkatkan kredibiliti siasatan dan pendakwaan, ujarnya. – MalaysiaGazette