Sebanyak 623 kluster telah dilaporkan termasuk tujuh kluster baharu hari ini- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak empat kluster baharu Covid-19 direkodkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pertama adalah Kluster Tuaran di Kota Kinabalu, Sabah yang sehingga kini mencatatkan sebanyak 43 positif daripada 83 individu telah disaring Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seterusnya adalah Kluster Jalan Haruan di Seremban, Negeri Sembilan yang melibatkan pekerja sebuah kilang.

“Sehingga 27 November lalu, sejumlah 300 individu telah disaring, di mana 118 kes telah dikesan positif dalam kluster ini. Ini melibatkan 10 kes warganegara dan 108 kes bukan warganegara,” katanya ketika sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Kemudian direkodkan adalah Kluster Tapak Bina Puteh Lama di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Sejumlah 820 individu telah disaring manakala 139 daripadanya disahkan positif.

“Keempat adalah Kluster Beringin di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di
Pulau Pinang. Kes-kes dalam kluster ini melibatkan para
pekerja di dua buah kilang di Pulau Pinang.

“Seramai 3,116 individu telah disaring, di mana 37 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan Kluster Omadal diisytiharkan tamat hari ini.-MalaysiaGazette