Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media khas secara maya mengenai vaksin Covid-19 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan yakin fasiliti kesihatan dalam negara ini mampu untuk menerima dan menggunakan vaksin Covid-19.

Ini kerana, pelaksanaannya bukan hanya melibatkan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaliknya diperluaskan kepada fasiliti kesihatan daripada agensi kerajaan lain seperti Hospital Angkatan Tentera dan hospital universiti, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan vaksin Covid-19 terutama semasa fasa ketiga pelaksanaan.

“Syarat utama vaksin Covid-19 untuk didaftarkan dan digunakan nanti ialah vaksin tersebut mestilah telah diuji dengan rapi menerusi kajian klinikal berskala besar dari fasa satu hingga tiga,” katanya pada sidang media khas mengenai vaksin Covid-19 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, ujian klinikal fasa tiga untuk vaksin Pfizer melibatkan seramai 43,998 peserta dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, Jerman, Afrika Selatan dan Turki.

Jika digabungkan kesemua 12 vaksin yang berada dalam ujian klinikal fasa tiga, seramai 500,000 peserta sudah terlibat dengannya, kata beliau.

“Selepas menjalani ujian klinikal, semua data yang diperlolehi akan dinilai oleh badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA).

“Di Malaysia, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menilai data-data tersebut untuk memastikan ianya selamat diambil oleh rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, ini bermakna tahap keberkesanan dan keselamatan vaksin telah pun diuji pada peringkat ujian klinikal dan proses pemberian vaksin.

Setelah diperoleh nanti, akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19 sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain, katanya.

Muhyiddin menjelaskan, kumpulan berisiko tinggi itu termasuklah petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya.

“Oleh itu, apabila ia telah diluluskan, barisan hadapan (frontliners) dan kumpulan berisiko tinggi yang lain bukanlah ujikaji pertama. Mereka akan mendapat vaksin yang telah diuji dan terbukti selamat.

“Setelah vaksin digunakan, pemantaun keberkesanan dan keselamatan tetap akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette