Proklamasi Darurat beri kelebihan kepada pasukan keselamatan mengetatkan uandang-undang.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri hari ini, memberikan tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menentukan tindakan lanjut berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini beliau tidak tahu sama ada dua kawasan itu perlu diisytiharkan Proklamasi Darurat atau tidak, sebagaimana dilaksanakan di Parlimen Batu Sapi baru-baru ini.

“Kita serahkan kepada KKM dan MKN untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tindakan yang akan mereka lakukan.

“Selepas kita mendapat nasihat dan saranan KKM dan MKN, kita akan bentangkan kepada Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Ditanya apakah kesan bagi kawasan yang diisytiharkan darurat, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan darurat di Parlimen Batu Sapi misalnya, adalah untuk menangguhkan PRK.

Sedangkan, kehidupan penduduk dalam kawasan itu berjalan seperti biasa dengan SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Kita minta Yang di-Pertuan Agong isytiharkan Proklamasi Darurat di Batu Sapi adalah untuk menangguhkan pilihan raya dari diadakan ketika wabak Covid-19 masih merebak.

“Manakala kehidupan rakyat berjalan seperti biasa. Aktiviti ekonomi boleh dijalankan, rakyat yang bekerja boleh berulang alik ke pejabat dengan surat kebenaran majikan,” katanya.

Mengenai DUN Bugaya, beliau berkata, kawasan itu terletak dalam daerah Semporna yang ketika ini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan beberapa lokaliti diisytiharkan PKP Diperketatkan.

Katanya, kes positif Covid-19 di Semporna agak tinggi satu ketika dahulu, begitu juga di Gerik yang masih dilaksanakan PKPB bagi keseluruhan Perak.

“Ini yang KKM dan MKN ambil kira. Mereka ada kaedah untuk menentukannya sebelum keputusan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette