INSIDEN kes tembakan di antara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan gerombolan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan dengan pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis tiga
hari lepas telah menggemparkan bukan sahaja negeri Perlis bahkan seluruh negara.

Salam takziah kepada keluarga Mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang telah terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, cedera parah dan kini difahamkan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang.

Titipan takziah juga buat seluruh keluarga besar pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sesungguhnya pemergian Mendiang Sarjan Baharuddin yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara merupakan suatu kehilangan besar kepada negara dan pasukan PDRM.

Menjunjung Kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menganugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) kepada kedua-dua orang wira barisan hadapan negara ini.

Di samping turut meraikan keputusan kerajaan berhubung dengan pengumuman kenaikan pangkat mereka kepada Sarjan, adalah diharapkan juga agar aspek kebajikan keluarga mereka yang sedang berduka ketika ini tidak sesekali diabaikan.

Rakyat pasti menanti agar kesemua suspek yang terlibat dalam kes tembak-menembak tersebut yang kini sedang ditahan reman antara empat hari dan tujuh hari bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, tidak terlepas daripada dihadapkan ke muka pengadilan dalam
jangka masa yang terdekat.

Adalah menjadi cabaran besar dihadapi PDRM serta agensi berkaitan yang lain apabila pintu sempadan negara tidak begitu terkawal. Sempadan negara agak luas dan panjang di mana
dianggarkan sempadan darat antara Perlis dan Thailand sahaja adalah sepanjang lebih daripada 100 KM.

Kini sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 3.

Kerajaan perlu segera mengambil langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan supaya insiden yang sama dapat dielakkan dari berulang lagi, antara lain pihak kerajaan pusat digesa
agar menambah baik tembok sempadan negara yang begitu daif keadaannya dan perolehan baharu aset bagi mengawal negara berbanding dengan peralatan yang digunakan oleh pihak

keselamatan ketika ini. Difahamkan bahawa CCTV di kawasan persekitaran sempadan Malaysia-Thailand tidak berfungsi, justeru terdapat keperluan segera untuk penyelenggaraan CCTV berkenaan.

Peruntukan bagi menaiktaraf laluan keselamatan atau tembok sediada perlulah diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan pusat kerana tiada sebarang naik taraf terhadap fasiliti sedia
ada dan beban pengawalannya hanya disandarkan kepada penugasan kepada pihak keselamatan sahaja.

Pihak kerajaan pusat seharusnya memandang serius tentang isu ini kerana ianya melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Isu penyeludupan rentas sempadan bukan satu perkara baru bagi kita di mana kegiatan penyeludupan rentas sempadan ketika ini begitu mudah lolos dengan menggunakan lorong-lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand khasnya di Padang Besar sebagai lokasi transaksi penyeludupan.

Pada pertengahan tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Datuk Seri Ismail Bakar dilaporkan pernah berkata bahawa negara mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara.

Pada tahun lalu, negara juga pernah digemparkan menerusi pendedahan mengejut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi rakaman CCTV tentang kegiatan
pembolosan penyeludupan rentas sempadan yang dijalankan sindiket penyeludupan di Padang Besar, Perlis yang dipercayai berlaku antara tahun 2017 hingga Mei tahun lalu.

Dilaporkan menerusi klip video tersebut, sindiket-sindiket berkenaan dilihat dengan mudah dan berani memikul barangan seludup, sebelum menyerahkan kepada individu di luar sempadan negara, melalui pagar sempadan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Terdapat keperluan bagi pemerkasaan penguatkuasaan agensi-agensi yang terlibat dalam menjaga sempadan negara. Penglibatan masyarakat tempatan juga tidak kurang penting dalam menangani kes-kes penyeludupan dan mereka diharap agar dapat segera melaporkan sebarang maklumat yang mereka perolehi berkaitan dengan kes tersebut kepada pihak keselamatan.

Adalah dicadangkan agar pihak yang dapat menangani kes-kes penyeludupan ini diberi imbuhan berupa insentif daripada kerajaan di atas maklumat yang diberikan (awam) atau tindakan
penguatkuasaan (agensi) sehingga mampu menggagalkan sesuatu aktiviti penyeludupan yang akhirnya menyelamatkan negara dari kerugian akibat kes tersebut.

Sekalung tahniah di atas komitmen dan ketegasan pasukan PGA dari Batalion 3 yang menjalankan amanah menjaga sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang telah menabur bakti hingga sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanahair.- MalaysiaGazette

Asrul Nizan Abd Jalil

Asrul Nizan Abd Jalil
Ahli Dewan Undangan Sena
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Perlis