Seorang lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah reman bagi siasatan kes pemalsuan cap sempadan di pintu masuk antarabangsa negara.

KUALA LUMPUR – Dua individu yang dipercayai berperanan sebagai ejen berkaitan kes sindiket rasuah dalam pemalsuan cap sempadan di pintu masuk antarabangsa negara direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman sehingga 4 Disember depan itu dikeluarkan oleh Majistret  Shah Wira Abdul Halim selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi ini.

Menurut sumber, mereka sebelum ini telah dicari oleh SPRM menerusi kenyataan media yang disiarkan pada 18 dan 23 November lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia antara 35 dan 49 tahun itu telah berjaya dikesan dan seterusnya ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pada pukul 3 dan 5 petang semalam.

Menerusi tangkapan terbaharu ini, wang tunai dan beberapa passport warga asing juga turut di sita.

Penahanan ini menjadikan kesemua mereka yang ditahan adalah seramai 65 orang terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, ejen (17) dan orang awam (9)

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette