Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 577 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu 577 telah dikompaun manakala selebihnya direman.

Antara kesalahan ingkar PKP yang tinggi adalah gagal mematuhi penjarakan fizikal iaitu 215 individu dan 116 terlibat dengan aktiviti pusat.

“Tidak memakai pelitup muka (113) selain gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71) rentas negeri/ daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (9),” kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan di sini.

Turut diperiksa 3,426 pasar raya, 4,949 restoran serta 1,866 penjaja dan 1,336 kilang.

“Pasukan pematuhan juga memeriksa sebanyak 3,435 bank dan 552 pejabat kerajaan, selain 941 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air dan 83 pengangkutan udara,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Ops Benteng telah berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup, selain merampas empat buah kenderaan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan-kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya.-MalaysiaGazette