Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bermula 1 Disember ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan majlis akad nikah diadakan di masjid-masjid bukan zon merah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menerusi kenyataan, JAWI berkata, ketetapan berkenaan dibuat selepas menerima perkenanan Yang di-Pertuan Agong.

“Sehubungan itu, jabatan ini telah membuat ketetapan peluasan kebenaran berkahwin bertujuan memberi lebih banyak pilihan tempat akad nikah kepada pasangan yang ingin melaksanakan majlis akad nikah sepanjang PKPB ini serta mengelakkan berlakunya perkumpulan kehadiran ramai orang di sesebuah masjid pada satu-satu masa,” kata JAWI.

Tambah JAWI, Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ (PPNCR) bertanggungjawab untuk memastikan pihak terlibat dalam majlis akad nikah tersebut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan serta peraturan yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengurusan tertinggi JAWI dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, JAWI hanya membenarkan majlis akad nikah diadakan di Pejabat JAWI Kuala Lumpur dan cawangan di Putrajaya, selain beberapa masjid tertentu sahaja. -MalaysiaGazette