Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali beramah mesra dengan sebahagian penduduk selepas Program Sumbangan Penggantian Pam Air di Pangsapuri Sri Harmonis, Gombak Setia, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2020

GOMBAK – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebolehnya kerajaan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Namun katanya, ia tidak dapat dilaksanakan kerana penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada negara.

“Kalau boleh kami nak menyerahkan mandat ini kepada rakyat sebelum ini pun. Kalau boleh mungkin bulan lalu, atau pun minggu lepas tapi suasana tidak mengizinkan untuk kita mengadakan PRU.

“Maka kita mencadangkan sebaik saja penularan Covid-19 ini dapat ditangani dengan lebih berkesan kita bersedia untuk kembali kepada rakyat dan biarlah rakyat yang buat keputusan untuk masa depan negara ini dan kita bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Sumbangan Penggantian Pam Air di Pangsapuri Sri Harmonis, Gombak Setia, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, PRU15 akan diadakan apabila pandemik Covid-19 berakhir.

Muhyiddin berkata, langkah itu bagi memastikan kerajaan mengembalikan mandat kepada rakyat, dan biarlah rakyat buat keputusan untuk memilih kerajaan yang mereka mahu.

Dalam pada itu, Azmin melahirkan keyakinan bahawa kerajaan Perikatan Nasional mampu untuk mendapat tempat di hati rakyat dengan rekod yang cemerlang dalam mendepani penularan Covid-19.

“Kita yakin dengan sokongan daripada rakyat kerajaan Perikatan Nasional dapat terus memerintah kerana terbukti dalam tempoh yang begitu singkat banyak usaha yang telah kita lakukan dan seperti yang ditegaskan oleh Gabenor Bank Negara baru-baru ini pun dalam suku tahun ketiga tahun ini kita lihat penguncupan pertumbuhan ekonomi itu lebih mengecil lebih kepada 2.7 peratus berbanding dengan suku tahun kedua di mana penguncupan itu lebih besar 17.1 peratus.

“Ini membuktikan hasil daripada pemulihan ekonomi itu ada kesannya dan suntikan ekonomi yang kita lakukan berjumlah RM305 bilion itu telah beri kesan yang positif,” katanya lagi.

Kerajaan PN mempunyai tempoh selama dua tahun lagi untuk mendapatkan mandat baru rakyat.

Ia setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Putrajaya pada Mei 2018 dan kerajaan PN dibentuk pada Februari 2020. – MalaysiaGazette