Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis menahan 648 individu atas pelbagai kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 51,450 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,437 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,746 anggota telah membuat pemantauan di 3,281 pasar raya, 4,316 restoran serta 1,302 penjaja, 1,097 kilang, 3,047 bank dan 410 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 878 terminal pengangkutan darat, 228 terminal pengangkutan air serta 84 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, PDRM telah menahan 648 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan daripada jumlah itu seramai 594 individu telah dikompaun manakala 54 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (331 individu), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102 individu), tidak memakai pelitup muka (65 individu), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (64 individu), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60 orang), dan lain-lain kesalahan (26 orang),” katanya. – MalaysiaGazette