Gambar hiasan

ALOR SETAR, 29 Nov — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Disember untuk pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu yang mencetuskan kluster Sivagangga dalam penularan COVID-19, memfailkan pembelaannya terhadap saman yang difailkan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Peguam Mohammad Zunun Baihakky yang mewakili CAKE berkata, beliau menerima surat daripada peguam mewakili Nezar Mohamed Sabur Batcha yang memohon satu tarikh untuk memfailkan pembelaan itu bagi pihak pemilik kedai nasi kandar berkenaan.

“Jadi mahkamah bagi satu tarikh (iaitu) 21 Dis untuk pihak peguam dia (Nezar) memfailkan pembelaan. Sekiranya tiada apa-apa pembelaan pada tarikh tersebut, kita akan memohon daripada mahkamah untuk memfailkan penghakiman ingkar terhadap dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes saman itu di Mahkamah Tinggi di sini yang turut dihadiri Setiausaha CAKE Mohd Yusrizal Yusoff.

Mohammad Zunun berkata pemilik kedai nasi kandar itu selesai menjalani hukuman penjara pada 24 November lepas.

Pada 13 Ogos, Nezar dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Berikutan itu, CAKE yang mewakili kira-kira 200 peniaga dan pekerja sekitar Napoh yang pendapatan mereka terjejas ekoran penularan kluster Sivagangga memfailkan saman RM1.5 juta terhadap Nezar pada 19 Ogos lepas di Mahkamah Tinggi di sini. – Bernama