Foto hiasan

SINGAPURA – Seorang wanita Singapura yang dijangkiti Covid-19 pada Mac ketika sedang mengandung telah melahirkan seorang bayi yang memiliki antibodi melawan virus tersebut.

Ini telah memberikan penemuan terbaharu sama ada virus tersebut boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi yang dikandungnya.

Bayi itu dilahirkan pada bulan ini, bukan sahaja tidak dijangkiti Covid-19 malah mempunyai antibodi melawan virus berkenaan, demikian menurut laporan Straits Times.

“Doktor mengesyaki saya telah memindahkan antibodi Covid-19 kepada bayi saya semasa mengandung,” kata ibu berkenaan, Celine Ng-Chan.

Tambahnya, beliau mengalami sakit ringan akibat Covid-19 dan didiscaj daripada hospital selepas menerima rawatan selama dua minggu setengah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, ia masih tidak tahu sama ada wanita mengandung yang dijangkiti Covid-19 boleh memindahkan virus berkenaan kepada janin atau bayi dalam kandungan atau ketika melahirkan atau tidak. – Agensi