Arkib Kakitangan pengurusan Top Glove yang dilengkapi sut perlindungan diri (PPE) membawa bekalan makanan untuk pekerja Top Glove yang di kuarantin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Asrama Pekerja Top Glove, Meru, Klang. foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) membuka 19 kertas siasatan terhadap enam buah syarikat milik Top Glove Bhd. susulan penularan wabak Covid-19 dalam Kluster Teratai yang kini telah menjangkiti lebih 1,000 orang.

Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Kementerian Sumber Manusia berkata, operasi penguatkuasaan terhadap enam syarikat milik Top Glove itu dijalankan serentak di lima buah negeri iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor pada 26 November lalu.

“Hasil siasatan secara menyeluruh ke atas penginapan dan asrama pekerja mendapati majikan tidak mematuhi Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kesalahan utama adalah kegagalan syarikat ini memohon Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja dibawah seksyen 24D Akta 446.

“Kegagalan ini seterusnya telah membawa kepada kesalahan-kesalahan lain termasuklah keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa dan tiada pengudaraan yang sesuai.

“Malahan bangunan yang digunakan sebagai penginapan turut tidak mematuhi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika sabit kesalahan, majikan boleh dihukum dengan denda sehingga RM 50,000.00 bagi setiap kesalahan. – MalaysiaGazette