Nga Kor Ming

IPOH – Walaupun Kor Ming dikatakan merupakan calon untuk bertanding jawatan tertinggi parti iaitu Setiausaha Agung untuk menggantikan Lim Guan Eng, tetapi tuan punya badan tidak mengesahkan khabar angin itu.

Ketika dihubungi Sinchew Daily, Kor Ming hanya mendedahkan bahawa DAP buat sementara waktu menentukan pemilihan parti diadakan pada 20 Disember, tetapi ia tertakluk kepada perubahan.

Disebabkan Guan Eng telah mencapai tempoh maksimum untuk jawatan Setiausaha Agung, Kor Ming dan juga Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dikatakan merupakan calon paling berpotensi untuk memimpin DAP.

Walau bagaimanapun, Siew Fook dan Kor Ming yang masing-masing merupakan Ahli Parlimen Seremban dan Taiping masih berteka-teki mengenai hala tuju mereka.

DAP pernah memohon supaya perhimpunan agungnya ditundakan kepada tahun depan, tetapi permintaan itu telah ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. – MalaysiaGazette