Pendakwah selebriti diiringi pegawai polis selepas keluar dari mahkamah setelah mendapat perintah reman selama lima hari bermula hari esok bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat dakwaan kes cabul dan rogol membabitkan Da’i Syed.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed percaya lebih banyak lagi laporan akan menyusul daripada mangsa-mangsa selepas ini.

Katanya, kesemua kejadian rogol atau cabul membabitkan pendakwah muda itu berlaku baru-baru ini dan polis akan menyiasat setiap aduan yang diterima.

“Kami percaya kemungkinan ada lagi banyak laporan akan dibuat mangsa-mangsa wanita selepas ini dan kita menubuhkan pasukan khas untuk siasat kes-kes membabitkan suspek ini.

“Tidak kira sama ada insiden yang menimpa mangsa sudah lama berlaku ke atau baru lagi, saya minta mangsa berani tampil buat laporan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Tambah beliau, sehingga 30 November 2020, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan selebriti pendakwah muda itu.

Daripada tujuh laporan itu, kataya, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol

“Manakala satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 377(c) dan 354 Kanun Keseksaan iaitu bersetubuh luar tabii tanpa kerelaan dan mencabul kehormataan

“Manakala satu laporan NFA atau tiada tindakan lanjut kerana tiada unsur gangguan seksual,” katanya lagi.

Menurut beliau, kesemua tujuh mangsa ada berusia antara 22 hingga 26 tahun yang mana kebanyakannya pelajar dan juga yang bekerja.

Mangsa-mangsa ini juga adalah pengikut Instagram suspek.

Ditanya mengenai modus operandi suspek sehingga ramai wanita menjadi mangsanya, kata Huzir, suspek mula-mula berkenalan dengan mangsa menerusi mesej peribadi di laman Instagram.

”Suspek kemudian mengajak mangsa keluar makan atas pelbagai alasan dan kapasti sebagai ‘Da’i misalnya urusan perniagaan dan sebagainya.

“Kemudian suspek menggunakan pelbagai alasan remeh dan membuat helah sehingga memperdaya mangsa ke rumah sebelum melakukan perkara tanpa kerelaan mangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette