SKUAD wanita Hockademy memahat sejarah baharu apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada Februari lalu.

KUALA LUMPUR – Hockademy mengesahkan bahawa kelab itu tidak akan mengambil bahagian dalam saingan TNB-Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021 yang dijadualkan berlangsung bermula 8 Januari hingga 28 Februari depan.

“Dalam perbincangan tersebut beberapa isu utama telah digariskan termasuk ketidaktentuan yang timbul disebabkan oleh pandemik Covid-19 menjadi antara sebab utama mengapa Hockademy tidak dapat mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia yang dimenangi pada tahun ini termasuk beberapa sebab lain lagi.

“Antaranya tempoh persiapan yang singkat untuk mengadakan sesi pemilihan dan latihan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 6 Disember ini.

“Kes Covid-19 masih mencatat bacaan empat angka sekali gus menimbulkan kebimbangan dan ancaman kesihatan ke atas para pemain dan pegawai pasukan,” kata kelab itu.

Hockademy turut mengakui sukar untuk mendapatkan penajaan ketika kebanyakan syarikat terjejas dan berdepan impak kewangan yang teruk sepanjang tahun ini.

Tambahnya, wujud kemungkinan PKPB akan disambung lagi sekali gus menimbulkan ketidaktentuan tarikh penganjuran TNB-MHL dan kemungkinan ia akan ditangguhkan.

“Ia juga mengambil kira keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri Johor dan Majlis Sukan Negara (MSN) membatalkan penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung pada April depan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak Hockademy bersedia untuk mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia 2021, namun ia bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 ketika itu.

“Buat masa ini pihak Hockademy hanya ingin menumpukan kepada program pembangunan akar umbi kami yang dikenali sebagai Program Hocka Kids.

“Apapun, pihak Hockademy mendoakan kelicinan penganjuran TNB-MHL 2021 buat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian bagi kempen 2021,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast